Monday, July 4, 2011

Kampung Sebako : Rentetan Sebuah Perjalanan

Nukilan kali ini adalah sambungan daripada pengalaman di pekan Daro dan Matu. Kampung Sebako merupakan sebuah kampung yang terletak di Pulau Bruit di kawasan Paloh, bahagian Matu-Daro di daerah Mukah negeri Sarawak.

Kampung ini merupakan kampung ibu penulis di mana penulis tidak pernah berkesempatan untuk melawat kampung penulis sudah tiga tahun lamanya. Jadi, mengambil kesempatan cuti panjang yang diberikan oleh UiTM, penulis ingin meluangkan masa di sini dek kerana mungkin penulis tidak berpeluang balik ke kampung lagi pada waktu jangkamasa yang panjang.

Pada awalnya, penulis ingin pulang bersama dengan keluarga penulis sendiri kira-kira sebulan yang lalu akan tetapi disebabkan terjadinya kemalangan yang membataskan pergerakan penulis empat hari sebelum itu, maka hasrat penulis terbantut. Jadi baru sekarang penulis berada di kampung ini setelah berada di Daro dan Matu beberapa hari sebelum itu.

Sedikit sebanyak tentang latar belakang kawasan ini merupakan kampung tradisional nelayan. Disebabkan jarak yang agak jauh daripada bandar terdekat iaitu bandar Sarikei, kawasan ini hanya boleh dituju samada menggunakan bot laju yang memakan masa selama 2 jam 30 minit atau pun menggunakan jalan darat di mana ini merupakan salah satu topik yang ingin diutarakan.

DSC_0036Pak cik penulis membeli petrol yang diisi di dalam botol mineral 1.5L

Perjalanan menggunakan darat boleh memakan masa lebih daripada 5 jam mengikut kepada keadaan cuaca bermula daripada bandar Sarikei ke pekan Daro dan dari situ menyeberang ke Pulau Bruit menggunakan feri.

DSC_0037Menyedut sebatang rokok sementara menanti ketibaan feri

DSC_0038Feri yang semakin kian menghampiri

DSC_0040Feri sedang cuba untuk berlabuh

DSC_0041Keadaan di atas feri

Setelah sampai di seberang, anda harus melalui perjalanan yang panjang yang akan diakhiri dengan menyelusuri jalan bertanah di kawasan perladangan kelapa sawit sebelum tiba ke Kampung Sebako.

DSC_0044Jalan berpasir ladang yang harus ditempuhi

DSC_0045Membuang sedikit angin tayar motosikal supaya mudah untuk melalui laluan berpasir

DSC_0046Akhirnya, penulis sampai di kampung

Keadaan kampung ini boleh dikategorikan sebagai agak ketinggalan dan uzur di dalam arus pembangunan kerana tiada kemudahan asas seperti elektik dan air. Para penduduk di kampung ini cuma mengharapkan bekalan air daripada hujan yang ditadah menggunakan tangki dan sumber bekalan elektrik yang dijanakan oleh generator di mana kos sebulan bagi menghidupkan generator tersebut dengan petrol adalah sebanyak RM300 sehingga RM400 sebulan. Bagi kita yang berasal dari bandar, jikalau bil elektrik mencecah RM100 kita sudah mula bising apatah lagi dengan perbelanjaan sehingga RM400 bagi penduduk kampung yang rata-rata mereka hanya bekerja sebagai nelayan.

DSC_0110Generator yang digunakan untuk menjana tenaga elektrik

Keadaan mereka amatlah teruk jika musim kemarau tiba kerana ketiadaan air hujan yang merupakan sumber air utama bagi penduduk kampung ini. Disebabkan adanya pencemaran bahan kimia daripada baja yang mengalir dari tanah ladang kelapa sawit berhampiran menyebabkan kegatalan kalau mereka mandi menggunakan air sungai.

DSC_0111Tangki air yang digunakan oleh penduduk kampung untuk mengumpul air hujan bagi kegunaan seharian

Majoriti penduduk kampung adalah kaum Melanau dan bahasa pertuturan seharian mereka adalah bahasa Melanau akan tetapi mereka juga faham dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu formal dan Melayu Sarawak.

Kesemua penduduk di sini menganuti agama Islam dan kebanyakan aktiviti mereka adalah menangkap ikan dan bertani. Akan tetapi, bagi aktiviti menangkap ikan adalah mengikut musim. Jika musim tersebut berangin dan laut bergelora, para nelayan tidak akan turun ke laut dan rezeki pada hari itu bergantung kepada keadaan cuaca dan laut. Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang menyebabkan sesetengah nelayan turun ke laut semata-mata untuk memastikan dapur mereka berasap.

DSC_0130Pak cik penulis sedang memastikan jala dalam keadaan baik

DSC_0133Seorang lagi pak cik penulis sedang menuju ke laut

DSC_0134Dua orang budak lelaki sedang mendayung sampan ke hulu

DSC_0135

Adakah mereka menemui rezeki pada hari itu. Penulis pun tidak pasti

Prasarana asas seperti tadika dan sekolah rendah juga terdapat di sini akan tetapi keadaan struktur sekolah di sini memang agak kurang selesa bagi proses pengajaran dan pembelajaran. Kemudahan jalan bersimen telah dibina oleh kerajaan kira-kira lebih 10 tahun yang lalu akan tetapi disebabkan tiada penyelenggaran dilakukan oleh pihak berwajib, maka keadaan jalan disini dahulunya merupakan laluan bahagian berkayu menjadi agak teruk. Tambahan pula, disebabkan laluan kampung ini bersimen, maka terdapat beberapa orang kampung yang mempunyai motosikal untuk berulang-alik dari satu tempat ke tempat yang lain.

DSC_0052Keadaan jalan yang agak uzur

DSC_0070Seorang pemuda kampung menunggang motosikalnya

Kerajaan melalui agensi dan jabatan seperti MARDI dan Jabatan Perikananan serta Kementerian Pertanian juga menyediakan beberapa binaan bagi memudahkan aktiviti pungutan hasil tani dan laut dikumpulkan akan tetapi tiadanya penyelenggaraan daripada pihak berwajib menyebabkan insfrastruktur ini berada dalam keadaan uzur dan menyebabkan ia jarang digunakan di mana ia berlawanan dengan tujuan asal untuk memberi seribu kebaikan kepada para penduduk.

DSC_0053Bilik gerakan JKKK yang tidak diselenggara

DSC_0131Keadaan pusat kegiatan yang terbiar

DSC_0118Pusat pengumpulan ladang yang uzur

Terus-terang penulis nyatakan di sini bahawa walaupun parti Barisan Nasional memenangi kawasan ini akan tetapi mereka menang disebabkan tiadanya pilihan daripada penduduk tempatan bagi memilih seseorang yang akan membangunkan kawasan ini. Kerajaan negeri tentunya tidak akan membantu kawasan Dewan Undangan Negeri ataupun Parlimen yang dimenangi oleh pihak pembangkang.

DSC_0117Megahnya bendera BN berkibar mesti disertai dengan kesungguhan usaha kepada rakyat khususnya kepada para penduduk di Kampung Sebako

Maka dengan memilih kerajaan memerintah sahajalah yang merupakan satu-satunya pilihan mereka. Jadi kerajaan haruslah melakukan sesuatu memandangkan penduduk di kawasan ini merupakan salah faktor kemenangan Barisan Nasional. Oleh itu, wajarlah penduduk di kawasan ini diberi perhatian yang wajar bagi mengatasi masalah-masalah mereka di sini.

Kebiasaannya apabila tengahari menjelang selepas menjamu selera, sesetengah penduduk mengisi masa tersebut dengan tidur tengahari tambahan pula rutin harian mereka yang sama pada setiap hari; turun ke laut atau ke kebun; menyebabkan mereka mempunyai masa yang agak terluang.

DSC_0079Datuk penulis menikmati tidur petangnya

DSC_0078Sepupu-sepupu penulis yang masih kecil menikmati hidangan buah tembikai di beranda

DSC_0083Nenek penulis

DSC_0085Sepupu penulis bersama ayahnya merangkap pak cik penulis sendiri

Bagi penyediaan makanan tengahari, penulis berkesempatan untuk menemani mak cik penulis untuk memetik pucuk paku Sarawak yakni ‘sayur midin’ yang menjadi juadah popular di Sarawak dan kepuasan terpancar di wajah penulis kerana berpeluang menikmati santapan tengahari berlaukkan sayur midin yang dipetik sendiri.

DSC_0113Mak cik penulis yang sedang sibuk memetik pucuk paku ‘midin’

Tambahan pula, penulis juga mendapat santapan istimewa pada hari itu yakni makanan laut segar dari laut hasil tangkapan bapa saudara penulis.

DSC_0137Lihatlah betapa banyaknya udang dan ikan untuk hidangan tengahari!

Tangkapan pada hari itu termasuklah ketam, udang dan yang paling istimewa udang lipan dirujuk oleh penduduk tempatan dengan nama ‘Gaya’.

DSC_0136 Ketam dan udang lipan yang berjaya ditangkap

Udang lipan merupakan daripada keluarga udang akan tetapi haiwan laut kulit bercengkerang ini mempunyai rupa bentuk yang agak pelik seakan-akan lipan.

DSC_0139Rupa fizikal udang lipan yang sememangnya hampir seakan-akan lipan

Walaupun mempunyai bentuk yang agak aneh, akan tetapi rasanya adalah lebih sedap daripada ketam dan udang. Isinya memang manis dan kental dan cara memakannya adalah dengan mematahkannya kepada dua bahagian serta mengopak kulitnya seperti kita memakan udang.

DSC_0149Keadaan rupa ketam dan udang lipan setelah dimasak untuk hidangan tengahari

DSC_0151Udang yang baru masak ini sebenarnya baru sahaja ditangkap dari laut

Bagi orang bandar, ini merupakan pengalaman yang unik bagi mereka terutamanya jika mereka belum pernah menemui haiwan unik ini.

Aktiviti pada waktu petang bagi penduduk wanita di kampung ini diisi dengan aktiviti tarian poco-poco di mana ia merupakan tarian yang popular di kalangan wanita berusia 30-an hingga yang tua. Aktiviti ini selalunya dilakukan diantara jam 4 petang hingga 5 petang hampir setiap hari kerana kebanyakan para wanita di sini merupakan suri rumah. Justeru, mereka mempunyai banyak masa yang terluang pada waktu petang sementara menunggu para suami balik dari laut.

DSC_0075Para ibu yang sedang menari tarian poco-poco

DSC_0074Pemuda kampung bersama anaknya menaiki motosikal

DSC_0071  Budak comel yang sedang menunggu ibunya dimana sedang menari tarian poco-poco

Ada juga para penduduk yang pergi ke pantai pada waktu petang untuk menangkap sejenis siput yang dipanggil siput ‘Sid’ sebagai hidangan makan malam. Penulis telah diberi kesempatan untuk merasa keenakan menikmati siput ini dan tiada gambaran penulis boleh berikan untuk menerangkan betapa enakknya rasa siput ini.

DSC_0123Beberapa orang budak menyeberangi pantai untuk menangkap siput

DSC_0127Siput Sid

DSC_0140Sebesen penuh siput Sid

Salah satu daya tarikan Kampung Sebako adalah pantainya yang indah dan pemandangan di ufuk barat pada bening petang hari amat indah sekali; seakan-akan membuatkan anda tidak ingin berganjak sehingga tenggelamnya mentari. Anda pastinya terpesona dengan pemandangan yang dihidangkan di depan mata anda dan ini merupakan salah satu pengalaman yang anda tidak akan lupakan.

DSC_0122

DSC_0056

DSC_0057

DSC_0062Pemandangan yang indah daripada pantai

Sesuatu yang unik mengenai perkampungan ini adalah binaan rumah yang unik di mana mereka menggunakan asbestos sebagai bahan binaan asas terkini kerana harga kayu dan bata yang mahal. Cara binaan rumah ini juga menjadi ikutan di kawasan Daro dan Matu keranan kos binaan yang murah.

DSC_0089Salah satu rumah di Sebako yang dibina menggunakan asbestos

Bagi para pembaca yang ingin meluangkan masa percutian mereka di Kampung Sebako, terdapat kemudahan chalet yang disediakan oleh penduduk tempatan disini. Maka tiada kebimbangan yang akan timbul sekiranya anda berhasrat untuk meluangkan masa cuti anda untuk berada di sini.

DSC_0099

DSC_0100

DSC_0102Chalet-chalet yang terdapat di Kampung Sebako

Diharapkan dengan nukilan kali ini memberi sedikit sebanyak gambaran tentang Kampung Sebako yang sememangnya mempunyai keunikannya yang tersendiri di mata anda. Penulis juga berharap dengan beberapa pendedahan tentang kekurangan dari segi instrastruktur boleh diberi perhatian daripada pihak berwajib dengan sewajarnya demi kemakmuran kampung yang aman damai ini.

1 comment:

Ms Cherane said...

Cantik kampung penulis ni. Nak tanya, bukan asbestos tu membahayakan kesihatan?

ShareThis