Wednesday, December 15, 2010

Full Review : Hantu Kak Limah Balik Rumah

Pada hari Ahad yang lepas, saya telah pergi menonton filem Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR). Ini merupakan filem Melayu kedua yang saya tonton di pawagam selepas filem Ngangkung pada tahun ini.

Filem ini merupakan rentetan daripada filem Zombie Kampung Pisang yang diarahkan oleh pengarah yang sama kira-kira dua tahun dahulu.

HKLBR ini diarahkan oleh sutradara Mamat Khalid yang terkenal dengan filem yang diolah kelihatan bersahaja akan tetapi disertai dengan mesej-mesej kritikan terhadap sosiologi budaya, kepercayaan, pemahaman dan budaya orang Malaysia itu sendiri yang diparapkan (embedded) di dalam filem tersebut

Melalui tulisan pasca-tonton ini, saya akan cuba untuk memberikan maksud-maksud mesej yang ingin disampaikan oleh Mamat Khalid kepada penonton kerana bagi pendapat saya, kebanyakan para penonton yang telah menonton filem ini belum memahami sepenuhnya apa yang ingin dibawa dan diutarakan oleh pengarah terbabit.

AMARAN : TULISAN INI AKAN MEMBERI BABAK-BABAK ‘BOCOR’ (SPOILER) BAGI FILEM HKLBR.

Babak 1:

Para pelajar yang ditangkap merokok telah ditewaskan oleh guru lelaki mereka walaupun mereka bertukar menjadi zombie. Pada bahagian kredit telah menyatakan babak ini telah dihasilkan menggunakan duit PTPTN.

Pengajaran:

Kebanyakan para pelajar kini telah menjadi semakin memberontak dan disebabkan oleh tekanan perasaan daripada kawan-kawan disekeliling mereka.

Mamat Khalid juga mempersoalkan para pelajar tentang pengurusan kewangan mereka yang tidak sistematik kerana menggunakan duit PTPTN untuk perkara yang tidak berfaedah.

Babak 2:

Pengawal keselamatan yang ditugaskan menjaga kawasan tapak pembinaan sanggup membawa kerusi ke pondok dengan mengelilingi pondok tersebut daripada membongkok atau menerusi atas palang penghadang kenderaan. Pengawal itu juga lari daripada tapak pembinaan apabila melihat sesuatu perkara yang pelik berlaku dan pada akhir filem, ia telah dijelaskan oleh kren-kren yang digunakan bagi aktiviti pembinaan waktu malam.

Pengajaran:

Kebanyakan orang sekarang suka menggunakan jalan yang senang untuk mengecapi kemenangan, objektif atau sasaran daripada bersusah-susah dahulu.

Mamat Khalid juga menegur sikap kita yang terlalu suka membuat sesuatu andaian tanpa memeriksa sumber-sumber atau mengenalpasti kebenaran disebalik sesuatu peristiwa.

Babak 3 :

Ini mengenai watak Usup yang mengalami kecederaan pada kedua-dua belah kakinya setelah digilis oleh kenderaan pembajak sawah yang dibawa oleh Purnama yang pada ketika itu sedang berSMS dan bersembang di telefon tanpa memberikan sebarang perhatian ke hadapan.

Babak ini juga menunjukkan Usup menggunakan kerusi roda yang disediakan oleh pihak kerajaan (logo “HAK KERAJAAN” tertera di belakang kerusi roda) untuk memudakannya bergerak ke sana dan ke mari. Akan tetapi, ketika Usup dikejar oleh ‘hantu’ Kak Limah, beliau dapat berlari menyelamatkan diri dengan berlari sambil membawa kerusi roda tersebut.

Pengajaran :

Sememangnya babak ini menjurus kepada para pemandu Malaysia yang memandu sambil menggunakan telefon bimbit atas apa alasan sekalipun dek kerana kealpaan dan kelalaian mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pemandu berhemah di jalanraya.

Mentaliti orang Malaysia terutamanya orang Melayu yang selalunya mengharapkan subsidi daripada kerajaan untuk apa sahaja aktiviti tanpa perlu berpenat lelah telah digambarkan dengan jayanya oleh Mamat Khalid.

Akan tetapi, jika bangsa Melayu diancam oleh anasir-anasir yang tidak senang akan kedudukan mereka, orang-orang Melayu akan bangkit daripada tidur yang amat lena selama ini demi kelangsungan survival Melayu di bumi Malaysia ini.

Babak 4:

Husin yang merasa tidak senang dengan tempat tidurnya menjengah ke bawah katil kerana takut ada sesuatu di bawahnya sedangkan ‘hantu’ Kak Limah sudah sedia menanti di sebelah katil.

Pengajaran:

Orang kita mudah takut dan berasa was-was kepada ancaman-ancaman daripada luar sedangkan ancaman di dalam negara itu sendirilah yang akan merosakkan negara itu sendiri ; rasuah misalnya.

Babak 5 :

Bomoh daripada Bentan, Indonesia yang mengaku mempunyai ilmu kesaktian yang tinggi di hadapan para penduduk tempatan tidak berjaya untuk menewaskan ‘hantu’ Kak Limah dan akhirnya mengalami sampuk.

Pengajaran:

Secara terang-terangan pengarah ingin mengutarakan isu rakyat negara Indonesia yang mengaku memiliki segalanya apa yang Malaysia curi daripada mereka selama ini; contohnya adalah Kain Batik. Apabila kita menjawab, mereka menjadi semakin ‘paranoia’ yang akhirnya menyebabkan mereka mengambil tindakan sendiri yang tidak berhasil apabila kita tidak melayan sebarang provokasi oleh mereka.

Babak 6:

Bomoh daripada Kelantan cuba menewaskan ‘hantu’ Kak Limah dan telah beberapa kali salah memanggil hantu sehinggakan hantu kopek dan Nang Nak muncul.

Beliau juga meratib “belawok..belawok..belawok…” sementelah orang-orang kampong menunggu di belakang beliau.

Pengajaran:

Mamat Khalid sekali lagi terang-terangan cuba mengacah filem Ngangkung yang kebetulan mempunyai pelakon bomoh Siam yang sama kerana sebelum itu, pelakon telah melakonkan watak bomoh yang sama dalam filem Ngangkung.

Walaupun ditelan arus pemodenan, akan tetapi mentaliti rakyat Malaysia masih lagi mempercayai benda-benda yang berusurkan mistik dan mudah mempercayai bomoh-bomoh daripada doktor-doktor yang bertauliah.

Berapa banyak kes yang telah dilaporkan kepada pihak polis apabila terdapat kes bomoh merogol pesakitnya?

Orang sebegini mudah ditipu asakan ditunjukkan ‘kuasa-kuasa’ sakti oleh bomoh tersebut tanpa mengetahui sekiranya bomoh tersebut menipu.

Bagi maklumat anda, “belawok” dalam bahasa Kelantan bermaksud “tipu/menipu”.

Babak 7:

Pada babak ketiga terakhir dalam HKLBR, ketika Hussin bertemu dengan Nin di belakang warung Pak Jabir; kalau anda perasan terdapat orang yang menjala di atas jeti menggunakan jala berwarna kuning. Ini kerana pada babak ini, Nin ingin memberitahu sesuatu kepada Hussin yang dia hanyalah jelmaan yang hanya boleh dilihat oleh Husin; bagi rekod, bomoh Siam juga boleh melihat Nin; akan tetapi dihalang kerana Pak Jabir memanggil Husin untuk bersama dengannya. Bomoh Siam juga mengatakan “Kalau depa ingat kat dia, dia juga ingat kat depa” kepada Awie ketika di warung dan juga di kubur Nin.

Pengajaran:

Seperti mana yang kita tahu, warna kuning merujuk kepada metafora alam mistik; misalnya keris lama dibalut dengan kain kuning ; yang kita memang tidak boleh menyangkal langsung kewujudannya atas dasar salah satu daripada Rukun Iman iaitu “…mempercayai benda-benda ghaib”.

Dialog yang di utarakan oleh bomoh Siam itu adalah sebagai peringatan kepada kita supaya jangan sesekali melupakan kewujudan makhluk-makhluk dan alam ghaib ini.

Diharapkan dengan sedikit-sebanyak daripada penjelasan daripada tulisan ini boleh membantu anda memahami apakah mesej-mesej tersirat yang dibawakan oleh Mamat Khalid melalui filemnya.

Sebenarnya, terdapat banyak lagi mesej-mesej yang tersirat di dalam filem itu dan saya cuma menyampaian apa yang yang perhati dan fahami.

Filem HKLBR merupakan satu filem yang bagus dari Mamat Khalid dan saya memang mengesyorkan filem ini sebagai ‘Wajib Tonton’ kepada seluruh pembaca; cuma sila setkan mentalityianda kepada mood relaks dan memahami mesej kritikan sosial masyarakat yang diutarakan dalam filem ini dan anda akan mengalami kepuasaan maksimum apabila menontonnya kelak.

No comments:

ShareThis