Friday, July 1, 2011

Matu dan Daro : Sebuah Kisah Perjalanan

Daro dan Matu terletak di bahagian utara Sarawak yang terletak di bahagian Mukah dan dua kawasan ini hanya bertaraf pekan. Ini merupakan kali pertama penulis menjejakkan kaki ke sini kerana mengikuti sepupu perempuan, Khairunnisa, untuk balik ke kampungnya yang terletak di Daro. Dia baru sahaja menghabiskan cuti semester bagi institusi pengajian Politeknik Mukah di mana dia menjalani latihan praktikal sepanjang semester yang lalu.

Pekan Daro terletak kira-kira 6 jam perjalanan daripada Bandaraya Kuching menggunakan kapal laju catar. Kami sampai ke bandar Sarikei dahulu yang memakan masa perjalanan selama 4 jam sebelum mengambil sebuah lagi kapal laju catar yang mengambil masa 2 jam perjalanan lagi.

DSC_0152Bot laju yang menunggu penumpang ke pekan Daro

Pekan Daro merupakan sebuah tempat yang kecil sahaja di mana tempat tumpuan orang ramai hanya sebesar kawasan Dataran Cendekia termasuk kawasan asrama Melati di UiTM Shah Alam. Walaupun ianya hanya sebuah pekan, akan tetapi kemudahan asas ada terdapat di sini termasuklah bekalan air dan elektrik. Lebih mengejutkan, di sini anda juga boleh melanggan internet berkelajuan tinggi di mana perkhidmatan tersebut disediakan oleh Telekom Malaysia di bawah produk Streamyx dan juga Celcom di bawah jenama Celcom Broadband.

Majoriti penduduk di sini merupakan petani dan nelayan di mana kuasa beli mereka berada di tahap sederhana manakala sebilangan penduduk merupakan pekerja-pekerja sektor awam yang meliputi agensi kerajaan dan tenaga pengajar termasuk urus tadbir sekolah.

Bagi pelawat yang biasa dengan kehidupan waktu malam, pekan Daro merupakan kekecualian bagi anda disebabkan kebanyakan premis-premis perniagaan tutup pada jam 5 petang dan hanya kawasan premis-premis minuman dan makanan seperti warung yang masih dibuka sehingga jam 11 malam.

Pada dua hari berikutnya, penulis berada di pekan Daro sebelum dibawa berjalan-jalan ke kawasan pekan Matu oleh pak cik penulis di mana terdapat tarikan di situ seperti yang akan penulis nyatakan kemudian. Semasa dalam perjalanan, kami melalui kawasan kampung di mana majoriti penduduknya adalah nelayan dan kami berhenti sekejap untuk penulis berpeluang untuk mengambil gambar perahu kecil yang berlabuh di pangkalan sungai.

DSC_0001Bot-bot kecil yang berada di sepanjang sungai

DSC_0005 Dua orang nelayan sedang menyediakan persediaan ke laut 

Setelah 30 minit perjalanan dan melalui keadaan jalan yang berliku-liku, kami akhirnya sampai di pekan Matu. Kami singgah dahulu di pantai Matu bagi mengambil gambar keindahan pantai tersebut dan pada masa yang sama merakam gambar satu permainan tradisional kaum etnik Melanau yang terdapat di situ. Permohonan maaf kepada para pembaca kerana penulis terlupa nama beserta cara permainan tradisional ini dikendalikan. Apa yang pasti, kebiasaannya permainan ini boleh dijumpai sempena Pesta Benak di Sarawak pada penggal ketiga dan bagi para pembaca yang berminat, anda boleh datang ke Sarawak; bahagian Sri Aman terutamanya; jikalau anda ingin tahu dengan lebih mendalam lagi.

DSC_0008Struktur permainan tradisional kaum Melanau

DSC_0012Keindahan pantai Matu

Kami kemudiannya bergerak ke perkampungan nelayan kerana pak cik penulis ingin membeli ketam batu; ketam yang kebiasaannya terdapat di kawasan sungai berpaya; bagi hidangan makan malam. Kami membayar RM40 untuk 2 kilogram ketam di mana harga tersebut memang murah dan anda boleh mendapati harga tersebut hanya di Matu.

DSC_0017Ketam yang berjaya ditangkap oleh nelayan

DSC_0019Pak cik penulis tengah menimbang ketam untuk dibeli

Kami menyambung perjalanan ke Kampung Sok di mana terletaknya satu-satunya rumah panjang kaum Melanau yang masih lagi utuh berdiri di Bumi Kenyalang ini. Malahan, ini merupakan rumah panjang kaum Melanau tunggal di dunia disebabkan peredaran zaman yang menyebabkan tiada lagi rumah panjang lain wujud. Cuma yang ada, rumah panjang bagi kaum Iban, Bidayuh dan lain-lain. Akan tetapi, bagi kaum Melanau itu sendiri, ini merupakan peninggalan yang bersejarah berusia lebih daripada satu abad.

DSC_0025    Pintu masuk ke rumah panjang Melanau

DSC_0026Papan tanda yang bermaksud “Selamat Datang Ke Rumah Panjang”

DSC_0027Kisah sejarah rumah panjang Melanau

DSC_0033Panorama rumah panjang Melanau

Disebabkan kesuntukan masa, kami tidak berada lama di sini; lebih kurang 10 minit. Selepas itu, kami meronda-ronda di sekitar pekan Matu dan terdapat monumen yang sebati dengan imej Matu. Tanpa melengahkan masa, penulis merakamkan sekeping gambar monumen tersebut. Penulis tidak pasti atas dsar dan sebab apa monumen itu di bina akan tetapi di sebalik ukirannya, memang terdapat kisah di sebalik monumen tersebut.

DSC_0035Monumen yang sinonim dengan Matu

Beginilah rentetan perjalanan penulis di kawasan Daro dan Matu selama beberapa hari penulis berada di kawasan tersebut. Walaupun kawasan tersebut kecil dan terpencil, akan tetapi kemudahan asas yang disediakan oleh pihak kerajaan negeri Sarawak harus dipuji. Akan tetapi, penulis harus menegur pihak berkuasa tempatan (PBT) beserta agensi-agensi kerajaaan yang bertanggungjawab.

Pertama, air di sini mengalami tekanan yang rendah menyebabkan sesetengah kawasan tidak mempunyai bekalan air sehingga ke awal pagi dan ini agak menyusahkan terutamanya kepada isi rumah yang memerlukan bekalan air untuk aktiviti seharian. Mereka menggunakan tangki air yang diisi dengan air hujan bagi memenuhi kegunaan mereka.

Kedua, keadaan jalan yang tidak diselenggara oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan baik menyebabkan sesetengah jalan seperti jalan yang menghubungkan Daro dan Matu agak berliku dan beralun yang menyebabkan ketidakselesaan para pengguna jalanraya tersebut.

Diharapkan dengan nukilan ini memberi faedah kepada para pembaca yang ingin meluaskan pengetahuan berserta mereka yang ingin menjejakkan kaki ke sini satu hari kelak. Isu-isu dan masalah-masalah yang dipaparkan diharapkan dapat diambil perhatian oleh pihak yang berwajib demi keselasaan masyarakat Daro dan Matu itu sendiri.

1 comment:

Anonymous said...

very interesting.. nicely written. bleh try jadi stringer utk mana2 akhbar utk share story tok kepada org ramai.

ShareThis