Monday, June 1, 2009

Sebagai pelajar, “Kau ingat kau ada KELAS?”

Di Malaysia, kita mempunyai sebanyak 110 000 orang pelajar dalam peringkat ketiga dalam kehidupan pembelajaran. Samada kita belajar di dalam universiti penuh, kolej universiti atau pun sekadar kolej yang menawarkan program diploma, ijazah sarjana muda dan sebagainya, kita tidak akan mengambil kira dari segi perspektif dari segi tahap akademik yang mampu ditawarkan.

Dalam kemasukan kali ini, kita akan bercakap mengenai sikap semua pelajar di dalam kelas yang saya telah bahagikan kepada tiga jenis kelas.

Kelas disini bukan bermaksud tentang pengasingan para pelajar di dalam sesebuah bilk mengikut tahap kepandaian mereka.

Pertama sekali, jangan sekali menyalah anggap maksud “kepandaian” dengan “bijaksana” adalah sama kerana kedua-dua perkara tersebut begitu besar perbezaannya dari segi maksud dan martabat “bijaksana” itu sendiri adalah tinggi serta seakan tidak sama dengan kedudukan “kepandaian” yang saya boleh katakan sebagai biasa sahaja.

Dalam pemerhatian saya, terdapat TIGA jenis kelas pelajar yang wujud di universiti bukan sahaja di Malaysia akan tetapi juga seantero dunia.

Kelas pertama pelajar adalah seorang yang suka menyanggah apa yang dipertuturkan dan diajari oleh para pensyarah mereka. Apabila disebut tentang suka menyanggah, ia bukan bererti pelajar itu melawan cakap atau pun bersikap kurang ajar dalam kelas mahupun selalu menyampuk apabila pensyarah memberikan syarahan mereka.

Apa yang ingin diertikan disini ialah memperkatakan sesuatu yang mungkin dipandang lepas oleh pensyarah dan pelajar itu membetulkan kembali dengan memberi sebab yang bernas berserta fakta yang sahih termasuk dengan buah fikiran yang tajam; yang disebut oleh orang barat sebagai “Criticize Thinking”.

Selalunya pelajar ini mempunyai pengaruh di dalam kelas dan juga di dalam sesebuah kelab universiti. Akan tetapi selalu juga saya perhatikan bahawa sesetengah pelajar ini merupakan pelajar kesayangan pensyarah yang mengajarkan mereka dalam sesuatu subjek di atas alasan bahawa pelajar jenis ini memang memikirkan apa yang diajar masuk ke dalam fikiran mereka ketika pensyarah itu mengajar.

Tidak seperti para pelajar dalam kategori tradisional yang cuma tahu dan faham apa yang diajarkan; menyerap masuk ke dalam minda; tanpa memikirkan atau menapis maklumat yang diterima; minda pelajar jenis pemikiran genting ini sentiasa melakukan serangan terhadap perkara-perkara yang memasuki lapisan penyimpanan maklumat otak mereka. Hasilnya, minda geliga pelajar jenis ini senantiasa dalam keadaan memikir.

Akan tetapi sayang seribu kali sayang. Hatta pelajar jenis kelas pertama ini merupakan pelajar kelas tertinggi, jangan sesekali menganggap mereka akan mempunyai CGPA yang bagus. Selalunya pelajar kelas ini mempunyai CGPA diantara 2.7 sehingga 3.3. Ini disebabkan kebanyakan mereka sibuk dengan pelbagai aktiviti bukan kelas dan bereontasikan peperiksaan yang menyumbang markah di dalam peperiksaan akhir mereka.

Mereka selalunya adalah golongan yang memimpin, samada di dalam aktiviti kelab mahupun universiti, yang menyebabkan tumpuan mereka terhadap pelajaran agak terjejas. Tambahan pula, mereka ini selalunya adalah golongan orang yang memberi cop untuk kad aktiviti bagi penghuni kolej bagi membolehkan mereka mendapat bilik pada semester hadapan. Mereka cuma boleh mengorak kembali langkah mereka jika mereka dari awal-awal lagi sedar akan keutamaan mereka di universiti.

Kelas kedua merupakan para pelajar yang mengalami apa yang dikatakan sebagai kejutan budaya. Selalunya para pelajar jenis begini selalunya berasal daripada kampung-kampung yang mengamalkan nilai-nilai murni khususnya daripada Melayu yang kaya dengan unsur-unsur adat. Salah satu contoh adat itu adalah dengan sikap yang suka menjawab yang boleh dikira sebagai pantang yang pertama dalam kehidupan seharian.

Mereka diajar supaya tidak melawan kata orang tua atau pun orang yang mempunyai kedudukan atas daripada mereka sendiri. Jadi bagi para pelajar ini, apabila melanjutkan pelajaran di universiti mereka terbawa-bawa adat dan nilai sikap yang diterapkan. Cuma mereka selalunya salah membawa nilai itu pada waktu yang tidak sesuai.

Apabila pensyarah memberikan syarahan, mereka inilah merupakan golongan yang cuma menyerap masuk apa yang diajarkan tanpa melalui pemikiran genting mereka disebabkan takut pensyarah mereka akan memarahi mereka serta nilai “jangan bersikap kurang ajar itu” sudah sebati dalam darah mereka.

Sebab itulah , apabila golongan kelas pertama memainkan peranan di dalam bilik syarahan, golongan kelas kedua ini berasa kurang senang akan kehadiran golongan ini. Sikap ini bukan disebabkan oleh kedudukan kelas pertama ini akan tetapi mereka berasa terkejut dengan sikap “kurang ajar” golongan kelas pertama.

Adalah menjadi suatu kebiasaan golongan kelas kedua selalunya takut untuk menjadi pemimpin dan mengetuai sesuatu kumpulan ketika pensyarah memberikan kerja khusus. Mereka selalu mengharapkan golongan kelas pertama untuk menjadi pemimpin disebabkan salah satu nilai murni yang diterapkan iaitu “rasa rendah diri’.

Jika mereka masih terikat dengan nilai-nilai murni itu, mereka mungkin akan berakhir menjadi Pak Turut pada garisan penamat. Bukannya saya menentang sikap nilai-nilai murni ini akan tetapi terdapat tempat dan keadaan dimana kita benar-benar menerapkan perkara tersebut dan bukannya mengamalkan ia setiap masa.

Kelas ketiga pula mungkin saya boleh katakan sebagai malas. Kemalasan golongan kelas ini bukannya dari segi akademik; selalunya golongan inilah yang mempunyai CGPA yang bagus; cuma tahu belajar sahaja tanpa mengambil tahu akan keadaan sekeliling. Walaupun sekelumit maklumat tentang perkara semasa; samada di dalam universiti ataupun Malaysia; mereka tidak sama sekali tahu menahu tentang perkara tersebut.

Mereka boleh saya katakan sebagai golongan “Habis-Kelas-Balik-Kolej-Masuk-Bilik”. Selalunya mereka cuma pandai dalam hal akademik sahaja dan selalunya golongan kelas ketiga inilah yang selalu terkandas selepas habis pembelajaran mereka di univerisiti. Apabila mereka cuba memasuki alam pekerjaan, golongan pemalas ini merupakan orang yang paling cerah sekali peluang mereka untuk menerima surat “Harap maaf. Anda tidak berjaya mendapat jawatan yang dipohon. Terima kasih kerana mencuba”.

Saya bukannya tidak suka kepada golongan ini cuma merekalah penyumbang utama kepada bilangan graduan yang menganggur selain golongan yang tidak tahu berkomunikasi dan mempunyai kemahiran kendiri ataupun “soft skills”. Mungkin tidak melampau saya mengatakan bahawa golongan kelas ketiga juga merupakan golongan yang mempunyai asas kemahiran kendiri yang paling teruk sekali.

Walaupun golongan kelas pertama dan kelas kedua tidak mempunyai CGPA yang cemerlang seperti mereka, akan tetapi mereka mempunyai kemahiran kendiri yang tinggi dan itu merupakan salah satu faktor penentuan di dalam alam yang seba berdaya saing ini. Malahan, golongan kelas pertama dan kedua mempunyai sekurang-kurangnya satu kebolehan lain yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan apa yang mereka belajar di kelas.

Kemalasan golongan ini terserlah apabila merekalah golongan yang mempunyai hubungan sosial dan interaksi yang paling lemah di universiti dan juga golongan yang merupakan jenis yang malas mencari cop untuk kad aktiviti mereka. Mereka cuma mengharapkan belas ihsan pemberi cop untuk membolehkan mereka mempunyai bilik pada semester hadapan.

Nota kaki: Siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedasnya.

No comments:

ShareThis