Hari ini hari Jumaat, maka aku akan menulis dalam bahasa Malaysia.
Sebelum korang semua meneruskan bacaan dalam kiriman ini, aku perlu memberi amaran bahawa apa yang aku ingin tulis di sini akan menyentuh perasaan korang. Tidak kira samada korang lelaki atau perempuan, kecil atau besar, muda atau tua. Kerana apa yang aku ingin paparkan di sini adalah cerita mengenai seorang ibu yang langsung tidak layak sekali bergelar "Ibu".
Dan juga, sebelum terus membaca sila sediakan satu pek tisu untuk mengesat air mata yang mungkin akan mengalir semasa, ketika atau selepas membacanya. Dan jangan salahkan aku jikalau air mata korang tumpah apabila membaca madah aku ini; terutamanya lelaki.
Dengan itu, dipersilakan.
====================================================================
Dua puluh tahun lalu, seorang ibu melahirkan seorang bayi lelaki, amat comel wajahnya akan tetapi bayi itu tampak tuli amat. Suaminya; Ali menamakan anak mereka, Yusri. Semakin lama semakin jelas bahawa anaknya memang agak lembab yang membuatkan si ibu itu berniat untuk menyerahkannya kepada orang lain agar suatu hari nanti Yusri akan mendapat pekerjaan yang ala kadar sahaja. Namun Ali menegah niat buruk itu isterinya itu. Akhirnya terpaksa si ibu membesarkan Yusri.
Pada tahun kedua kelahiran Yusri, si ibu itu melahirkan seorang bayi perempuan yang cantik yang dinamakannya Yasmin. Ali dan isterinya sangat menyayangi Yasmin lebih daripada Yusri. Seringkali pasangan suami isteri itu membawa Yasmin ke taman permainan dan membelikannya pakaian yang cantik-cantik dan mahal.
Tetapi keadaan yang sebaliknya bagi Yusri. Dia hanya memiliki beberapa pasang pakaian yang boleh dikatakan luntur dan boleh diibiratkan sebagai kain buruk sahaja. Ali berniat membelikannya pakaian baru namun isterinya selalu melarang dengan alasan tiada wang dan Ali terpaksa menuruti isterinya itu. Ketika usia Yusri dan Yasmin masing-masing menginjak empat dan dua tahun, Ali meninggal dunia. Mereka kehilangan tempat bergantung dan menjadi miskin disebabkan orang-orang yang menagih hutang arwah suaminya dulu. Akhirnya, si ibu mengambil keputusan yang membawa kepada penyesalan seumur hidup. Dia membawa Yasmin keluar dari rumah bersamanya manakala Yusri yang sedang lena tidur ditinggalkan begitu sahaja.
Bertahun telah berlalu sejak peristiwa itu. Si ibu berkahwin baru dengan seorang jejaka yang bernama Kamal dan kini usia perkahwinan mereka menginjak 5 tahun. Berkat Kamal, sifat-sifat buruk si ibu seperti pemarah, berlagak dan sombong mula menghilang sedikit demi sedikit dan akhirnya merubah si ibu menjadi seorang yang penyabar dan penyayang. Yasmin sudah berumur 18 tahun dan menuntut di universiti dalam bidang kejururawatan. Si isteri langsung tidak mengingati akan perihal Yusri sehinggalah dia di datangi oleh seorang pemuda di dalam mimpinya.
Tampan sungguh wajahnya akan tetapi, rupanya sungguh pucat. Dia melihat ke arah si ibu seraya berkata, "Mak cik, mak cik kenalkah ibu saya? Saya rindu sekali pada ibu!". Sesudah dia berkata demikian, dia mulai pergi akan tetapi segera si ibu menahannya.
"Tunggu dulu! Mak cik rasa mak cik kenal kamu. Siapakah namamu wahai pemuda?".
"Nama saya Yusri, makcik."
"Yusri? Yusri... Ya Tuhan! Betulkah engkau ini Yusri!?".
Si ibu terus tersentak dan terbangun dari mimpi. Perasaan bersalah, penyesalan dan pelbagai lagi perasaan aneh yang lain menerpa dirinya pada masa itu juga. Tiba-tiba terlintas kembali kisah yang terjadi dulu seperti sebuah filem yang ditayangkan kembali di kepala si ibu. Baru sekarang si ibu menyedari betapa jahatnya perbuatannya dahulu. Perasaannya sungguh berkecamuk sehingga dia hampir-hampir memutuskan untuk membunuh diri.
"Ya, aku patut mati! Mati! Mati!"
Cuma seinci sahaja lagi jarak pisau ke pergelangan tangan si ibu, tiba-tiba bayangan Yusri melintas kembali di fikirannya.
"Ya Yusri, ibu akan menjemputmu Yusri. Tunggu ya sayang....".
Pada petang hari itu juga, si ibu membawa dan meletakan kereta Civic birunya disebelah sebuah pondok sehingga membuatkan Kamal berasa hairan. Sambil menatap wajah isteri kesayanganya, dia menanyai tentang maksud mereka berada di tempat yang asing bagi Kamal.
"Hasnah, adakah sesuatu telah terjadi? Maksud abang, mengapa kita berada di tempat yang abang langsung tak kenal ni?"
"Oh abang.... Abang pasti benci akan Hasnah kiranya Hasnah ingin memberitahu abang sesuatu yang selama Hasnah ini rahsiakan daripada abang,".
Si ibu lantas menceritakan segal-galanya dengan tangisan yang teresak-esak. Alhamdulillah, ternyata Allah menganugerahkan si ibu seorang suami yang amat baik sekali dan yang penting sekali, memahami segala penderitaan yang dialami oleh isterinya selama ini.Selepas tangisannya reda, si ibu keluar dari kereta dengan diikuti oleh Kamal. Matanya menatap lekat pada gubuk yang terbentang dua meter dari hadapannya. Si ibu mula mengingati bahawa di pondok buruk itulah dia diam. Dan disitulah dia meninggalkan...."Yusri, Yusri. Adakah kau berada di dalam, nak?".
Ya, di situlah si ibu meninggalkan Yusri 16 tahun lalu. Dengan perasaan sedih si ibu berlari menghampiri pondok tersebut dan membuka pintu yang diperbuat daripada buluh itu.
Gelap sekali. Tidak terlihat sesuatupun di dalamnya....
Perlahan-lahan mata si ibu mulai membiasakan dirinya dengan kegelapan dalam ruangan kecil itu. Namun si ibu tidak menemui sesiapapun di dalamnya. Yang ada, hanyalah sehelai kain buruk yang berlonggok di lantai tanah. Si ibu mengambilnya lalu mengamatinya dengan betul-betul... Matanya mulai berkaca-kaca, si ibu mengenali potongan kain itu . Ini adalah baju buruk yang dulunya dipakai oleh Yusri setiap hari...
Setelah puas berada di dalam pondok itu, si ibu keluar. Air matanya mengalir dengan deras. Sungguh sayu dan sebak sekali keadaan pada ketika itu. Si ibu cuma mendiamkan diri sahaja. Ketika si ibu dan suaminya baru sahaja menaiki kereta untuk meninggalkan tempat itu, si ibu perasan bahawa ada seseorang sedang terhendap-hendap di belakang keretanya. Ketika itu, hari mulai gelap dan apabila si ibu menghampiri orang itu, alangkah terkejutnya bahawa didapati seorang nenek tua memerhatikannya di belakang kereta itu. Tambah mengejutkan si ibu itu lagi apabila dengan tiba-tiba sahaja nenek tua itu menegur si ibu dengan suara yang parau.
"Hei! Siapakah kamu berdua!? Apa yang kalian mahu!? Cepat pergi dari sini!"
Dengan memberanikan diri, si ibu pun bertanya, "Nenek, apakah nenek kenal dengan seorang anak muda yang bernama Yusri yang dulunya tinggal di sini?" sambil wajahnya membuat air muka pengharapan.
Lantas dengan muka yang menunjukkan amarah yang amat, dia menjawab, "Kalau kau adalah ibunya, KAU ADALAH IBU YANG PALING TERKUTUK!!!" bentaknya sambil dadanya berombak-rombak apabila bercakap menandakan si nenek tua itu berada dalam keadaan yang marah amat.
"Tahukah kau? Sejak kau meninggalkannya ENAM BELAS TAHUN yang lalu, Yusri terus menunggu ibunya dan memanggil, 'Ibu...ibu. Ibu berada di mana. Tolong balik ibu!!! Ibu...ibu...' Oleh kerana aku tidak sampai hati melihat keadaannya yang sebegitu, akulah yang memberikannya makanan dan aku juga yang selalu mengajaknya untuk tinggal bersamaku!"
"Walaupun aku ini orang miskin, tidak mempunyai sebarang harta dan hanya bekerja sebagai pemungut sampah, namun aku tidak akan meninggalkan dan TIDAK SAMPAI HATI meninggalkan anakku seperti itu! Tiga bulan yang lalu Yusri meninggalkan sehelai kertas ini. Dia belajar menulis setiap hari selama bertahun-tahun hanya untuk menulis ini untuk kau..."
Si ibu pun membaca tulisan yang agak kusam pada kertas itu. Surat yang berbunyi, "Ibu, mengapa ibu tidak pernah kembali lagi? Ibu marah pada Yusri, ya? Ibu, biarlah Yusri yang pergi saja akan tetapi ibu harus berjanji yang ibu tidak akan marah lagi pada Yusri,".
Si ibu menjerit seakan-akan histeria apabila habis membaca surat itu. Sambil melutut di kaki nenek tua itu, si ibu merayu "Tolong...tolonglah beritahu di mana anak ku sekarang? Aku janji yang aku akan menyayanginya! Aku tidak akan meninggalkannya lagi! Tolonglah!!!! Beritahu di mana anakku itu...!!!" dengan Kamal memeluk erat tubuh isterinya yang terketar-ketar dan lemah itu.
Dengan nada yang lembut nenek tua itu berkata, "Semuanya sudah terlambat. Sehari sebelum kamu datang, Yusri sudah meninggal dunia. Dia meninggal di belakang pondok ini. Tubuhnya sangat kurus dan dia sangat lemah. Hanya demi menunggumu, dia rela bertahan di belakang pondok ini tanpa akan berani masuk ke dalamnya. Dia takut apabila ibunya datang nanti, ibunya akan pergi lagi apabila melihat dirinya ada di dalam sana,".
"Dia hanya berharap dapat melihat ibunya dari belakang pondok ini. Meskipun hujan deras, dengan keadaannya yang lemah, dia terus berkeras dan berdegil menunggu kamu di sana,".
Dan secara tiba-tiba nenek tua itu berkata dengan rasa amarah yang amat sekali, "DENGAN SEMUA INI, KAU MASIH LAGI FIKIR YANG KAU ADALAH IBU YANG BAIK!? DOSA KAU TAK AKAN TERAMPUN!!!!". Si ibu tiba-tiba sahaja pengsan dan tidak dapat mengingati apa-apa lagi.
====================================================================
Semoga menjadi pelajaran bagi kita sebagai orang tua mahupun bagi yang akan berkahwin; janganlah menyalahkan apa yang sudah diberikan oleh Allah s.w.t. Tetapi hargailah apa yang diberikan oleh Allah itu dengan cuba bersabar.Kerana Dia tidak akan memberikan sesuatu apapun dengan sia-sia.
Pengajaran kisah ini: Sayangi orang di sekitar anda kerana anda tidak tahu akan sesiapa yang benar-benar menyayangi kita.
No comments:
Post a Comment